Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Kamu mungkin tertanya-tanya apa itu PTPTN? Sebenarnya, PTPTN merupakan Skim Pinjaman Pembiayaan Pendidikan. Tujuannya diwujudkan adalah untuk memberi pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Pembiayaan pendidikan ini adalah untuk memberi pinjaman kepada pelajar supaya dapat membiayai seluruh atau sebahagian yuran pendidikan dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian. Untuk melayakkan diri memohon PTPTN, terma dan syarat perlu dipatuhi.
Syarat-syarat memohon PTPTN:
1. Warganegara Malaysia;
2. Berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon;
3. Mendapat tawaran ke IPTA/IPTS dan Politeknik dengan memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA);
4. Kursus yang diikuti oleh pelajar IPTA/IPTS dan Politeknik mestilah mendapat kelulusan pendaftaran daripada
Kementerian Pengajian Tinggi;
5. Bagi pelajar-pelajar IPTS, kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi
Kelayakan Malaysia (MQA) dan belum tamat tempoh sah laku semasa permohonan dikemukakan;
6. Bagi pelajar yang mempunyai kelayakan berbeza daripada yang disyaratkan di perenggan (4) dan (5),
pengesahan bahawa kelayakan tersebut setaraf dengan kelayakan yang disyaratkan hendaklah diperolehi
daripada jabatan atau agensi sebagaimana dinyatakan;
7. Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu (1) tahun;
8. Tiada penaja lain; dan
9. Mempunyai akaun SSPN-i sebelum membuat permohonan. **
** Hanya akaun SSPN-i yang mempunyai 15 digit sahaja yang boleh membuat permohonan PTPTN. Sila hubungi cawangan PTPTN berhampiran untuk menyemak nombor akaun SSPN-i 15 digit.
Zaman teknologi telah memudahkan kita untuk mendaftar SSPN-i dan PTPTN secara online. Berikut merupakan langkah-langkahnya:
Sebelum Memohon PTPTN:
1. Akaun SSPN-i sudah dimohon secara online (klik di sini) atau di mana-mana cawangan bank tempatan seperti Maybank, Bank Islam atau Bank Simpanan Nasional.
2. Membeli nombor PTPTN di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional, http://www.mybsn.com.my/ atau di talian 1300 88 1900 dengan bayaran RM5.
3. Nombor PTPTN ini cuma sah untuk tempoh 6 bulan sahaja dari tarikh pembelian.
Semasa Memohon PTPTN:
1. Memastikan tawaran untuk ke IPT atau IPTS telah diterima.
2. Memohon secara online. Klik di sini.
3. Permohonan berpandukan tarikh yang telah ditetapkan mengikut IPT. Klik di sini.
4. Mempunyai akaun simpanan individu mengikut bank yang ditetapkan oleh IPT atau IPTS.
Selepas Memohon PTPTN:
1. Sediakan dokumen sokongan.
- a. Maklumat Permohonan Pembiayaan.
- b. Salinan SPM dan/atau STPM (jika menyambung pelajaran ke Tingkatan 6).
- c. Salinan kad pengenalan penerima biaya.
- d. Salinan surat tawaran kemasukan ke IPT atau IPTS.
- e. Salinan buku akaun (muka surat yang mempunyai nombor akaun).
- f. Salinan slip gaji atau surat pengesahan tidak bekerja (Penjaga Pertama).
- g. Salinan slip gaji atau surat pengesahan tidak bekerja (Penjaga Kedua).
- h. Salinan slip gaji penerima biaya (untuk mereka yang masih bekerja) dan pasangan penerima biaya (untuk mereka yang sudah berkahwin).
- i. Salinan pengesahan pengalaman kerja daripada majikan. (Bagi mereka yang menggunakan pengalaman sebagai syarat kemasukan.
* Untuk ketahui lanjut, sila klik di sini. *
Semua salinan perlu mendapatkan pengesahan daripada pegawai pangkat A, guru besar, penolong pengetua atau ketua kampung.
2. Wang Pendahuluan Pinjaman (sebanyak RM500) akan diberikan kepada pelajar sebelum menghadiri IPT atau IPTS. (Wang ini boleh dipulangkan kepada pejabat PTPTN jika tidak memerlukannya.)
Untuk ketahui lebih lanjut tentang PTPTN, sila klik di sini.
